“ ASSALAMUALAIKUM.” Ada seseorang memberi salam.
“ Waalaikumussalam,” jawab Yuri. Dia tahu milik siapa suara itu.
“ Sayang sihat? Abang risaulah,” ucap Hakkai selamba.
Merah merona wajah Yuri. Dia malu. Dari hari dia dimasukkan ke hospital lagi, Hakkai menggunakan perkataan sayang untuk dirinya. Tiba-tiba dia merasakan Hakkai memeluk dan mencium pipinya. Pinggangnya dipeluk dengan erat sekali.
“ Awak….”
“ Abang, sayang. Panggillah abang,” pintas Hakkai.
“ Aaa…”
“ Susah sangat ke nak sebut perkataan abang tu. Biar abang yang ajar,” ujar Hakkai. “ Sekarang ni, sebut a…bang. Hah kan senang aje.”
“ Aaa..”
“ Kalau sayang tak sebut, abang akan peluk sayang kuat-kuat.” Hakkai mengeratkan lagi pautannya di pinggang Yuri.
“ Sakitlah, abang,” ucap Yuri dengan pantas sambil menahan sakit.
“ Hah! Sayang panggil abang, abang. Sejuk rasanya telinga ni mendengarnya,” ucap Hakkai. Dia ketawa sambil melepaskan pelukan itu.
Yuri menahan malu. Dia ingin mengenakan lelaki itu, akhirnya dia juga yang terkena. Tentu suaminya itu sudah ke bilik air. Dia menyambung kembali lamunan yang terputus tadi.
“ Sayang, jom turun. Ada sesuatu yang ayah nak bincangkan,” ujar Hakkai.
Yuri menurut sahaja. Sampai di tangga, dia kelihatan sedikit teragak-agak untuk melangkah. Hakkai yang menyedari keadaan itu terus mencempung tubuh Yuri menuruni tangga. Yuri ingin meronta tetapi bila diingatkan dia berada di tangga, dia mendiamkan diri. Kalau tidak, dia akan jatuh bergolek bersama Hakkai. Tak pasal-pasal kena masuk hospital lagi. Lagipun sejak akhir-akhir ini, Hakkai tidak dapat dijangka perangainya.
Dia kembali berdiri setelah menuruni tangga. Pinggangnya dipeluk erat. Dia mengikut langkah Hakkai berjalan. Selepas itu, Hakkai menyuruhnya duduk.
“ Ayah bercadang nak buat kenduri doa selamat untuk Yuri kerana ALLAH masih beri nafas di dunia ni,” ucap Tuan Ahmad.
“ Saya ikut je, ayah. Lagipun Kai ada fikirkan pasal perkara ni,” ujar Hakkai.
Sayu Yuri mendengar. Dia amat bersyukur dengan kurniaan ALLAH kepadanya. Perbincangan ini membuatkan hatinya sebak. air matanya menitis laju. Dia cuma menundukkan kepalanya.
Hakkai terasa tangannya basah. Dia memandang tangannya. Ada setitis air mata di atasnya. Dari mana pulak air ni datang? Soal hatinya. Lantas dia memandang Yuri yang sedang diam. Dia mengangkat dagu Yuri. Ada lelehan air mata di pipi isterinya. Dia memandang Tuan Ahmad yang kehairanan itu.
“ Jangan menangis Yuri. Kan tak baik untuk mata Yuri,” tegur Tuan Ahmad.
Perlahan-lahan Yuri mengangkat mukanya. Dia tersenyum melihat Tuan Ahmad. Dia mengangguk perlahan. Selepas perbincangan itu selesai, Hakkai membawanya naik ke bilik. Yuri cuma diam.
“ Awak…”
“ Sayang, ni abang tau.” Hakkai membetulkan panggilannya.
“ A….Bang, esok kita ke rumah Hurin, boleh? Dah dekat seminggu saya tak keluar mana-mana. Lagipun saya rindukan si Hurin tu,” ujar Yuri meminta izin.
Lama Hakkai terdiam. Dia cuma melihat kegelisahan yang menyelubungi Yuri sahaja. Sebenarnya dia pun rindukan Hurin itu. Selalu juga dia menelefon anak kecil itu bertanya akan khabarnya anak itu. Bersama Hurin, seperti dia menjadi seorang ayah.
“ Boleh tak?” Suara itu bertanya lagi.
Hakkai ketawa dalam hati. Dia mahu mengusik Yuri. Suara itu lembut sahaja. Begitu menggoda.
“ Awak.”
“ Kalau sayang panggil abang macam tu lagi, abang tak akan bawa,” ugut Hakkai.
“ Janganlah buat macam ni,” ucap Yuri. Dia sudah mahu menangis.
“ Cepat panggil abang. Kalau tak abang akan peluk sayang kuat-kuat.” Pantas dia memaut pinggang Yuri dengan erat sekali.
Lelaki ni? Kenapa dengan dia ni? Asyik nak peluk orang je, omel Yuri di dalam hati. Dia terasa pinggangnya hampir patah dek pelukan si suami.
“ Sakitlah, abang. Abang ingat Hanun ni apa? Batang kayu ke? Boleh peluk kuat-kuat,” soal Yuri geram.
Selepas dia meluahkan rasa geramnya, dia tergaman seketika. Bukan apa, dia berasa sangat pelik, betapa lancarnya dirinya memanggil Hakkai dengan panggilan abang dan juga dia membahasakan dirinya sebagai Hanun. Kedengaran suara Hakkai ketawa. Hakkai sudah meleraikan pelukan itu tetapi tangannya masih melingkari pinggang si isteri.
Pipi Yuri dicium oleh Hakkai. Merah mukanya menahan malu. Hakkai bertambah geram dengan pipi Yuri yang merah. Blushing. Semula jadi tu.
“ I love you, my dear.” Bisikan romantis Hakkai menggetarkan naluri kewanitaan Yuri.
Biarpun dia tidak dapat melihat wajah Hakkai dengan matanya namun dia dapat melihat dengan mata hati. Dia tahu yang Hakkai benar-benar memaksudkan bicara itu.