Tuesday, February 26, 2013

Untuk Sahabat


KEDENGARAN  jam  loceng  berbunyi  lantang. Perlahan-lahan  dia  membuka  mata  dan  menutup  bunyi  yang  bising  itu. Dia  mengeliat  kesejukan. Walaupun  sudah  lama  dia  berada  di  bumi  Norway, namun  kesejukkannya  masih  dapat  dirasai. Hampir  2  tahun, dia  berada  di  sini  untuk  meneruskan  pelajarannya  ke  peringkat  yang  lebih  tinggi. Walaupun  jauh  daripada  keluarga  tercinta  tetapi  untuk  menimba  ilmu  pengetahun, dia  sanggup  berkorban. Dia  bukannya  berada  di  sini  untuk  dirinya  sahaja  tetapi  untuk  orang  disayangi. Dia  bertuah  kerana  telah  terpilih  antara  10  orang  pelajar  yang  boleh  mengikuti  kursus  di  luar  negara  sambil  menikmati  keadaan  di  tempat  orang. Namun  kenangan  di  kampung  halamannya  masih  segar  di  lubuk  sanubari. Benarlah  kata orang, hujan  emas  di  negeri  orang, hujan  batu  di  negeri  sendiri. Dia  tersenyum  sendirian.
            Dia  turun  dari  katil. Kemudiannya  dia  pergi  membersihkan  diri  dan  bersolat. Selesai  bersolat, dia  duduk  di  meja  tulisnya. Cuti  semester  baru  sahaja  bermula. Dalam  bilik  itu, dia  keseorangan  sekali  lagi. Hal  ini  kerana  rakan  sebiliknya  telah  pulang  ke  negera  asal  untuk  menikmati  cuti  semester  di  samping  keluarga  tercinta. Setiap  kali  cuti  bermula, dia  akan  ditinggalkan  keseorangan. Namun  begitu, dia  sudah  lali  dengan  keadaan  ini. Bukan  bermakna  dia  tidak  merindui  kampung  halamannya  tetapi  dia  tidak  punya  kemampuan  untuk  pulang. Dia  datang  ke  sini  atas  tajaan, jadi  dia  perlu  berjimat-cermat. Lagipun  dia  akan  mula  bekerja  di  salah  sebuah  restoran  halal  milik  warganegara  Pakistan  yang  beragama  Islam. Dia  akan  menjadi  pekerja  apabila  cuti  semester  bermula.
            Teringat  pula  tentang  lawatannya  bersama  teman  sekuliah  ke  Lake  Mjosa. Lake  Mjosa  merupakan  satu  tempat  tumpuan  pelancong  ke  negara  yang  antaranya  paling  mahal  di  dunia  ini. Tempatnya  cukup  memakau  mata  sesiapa  yang  berkunjung  di  tasik  tersebut. Di  hadapan  tasik  itu, dia  sempat  mengelamun  tentang  kolam  yang  berhampiran  dengan  rumahnya  di  kampung. Walaupun  kolam  itu  tidak  seberapa  cantik  jika  dibandingkan  dengan  Lake  Mjosa  tetapi  tempat  itulah  mempunyai  kenangan  yang  paling  indah  dalam  hidupnya. Spontan, jari-jemarinya  meraba  gambar  perempuan  yang  merupakan  sahabat  paling  mulia  pernah  ditemuai, Siti  Nur  Najwa…

BALQIS  pantas  menuju  ke  rumah  Wawa. Dia  sudah  terlambat  untuk  ‘ study  group’ mereka. Boleh  dikatakan  15  minit. Balqis  tahu  benar  dengan  perangai  sahabatnya  itu. Pantang  jika  bermain  dengan  masa. Bagi  Wawa, masa  lampau  tidak  boleh  kembali  ke  kita. Jadi, kita  perlu  menghargai  masa. Ucapan  itu  pernah  terucap  di  bibir  Wawa  ketika  dia  terlewat  untuk  ke  kelas  tambahan. Sebenarnya  dia  bukan  sengaja  untuk  melewatkan  dirinya  tetapi  ibunya  meminta  tolong. Justeru  itu, dia  terpaksa  membantu. Sedar  tidak  sedar, kakinya  sudah  terpacak  di  hadapan  rumah  Wawa.
            Wawa  sememangnya  menunggu  kedatangan  Balqis. Matanya  merenung  tajam  ke  arah  Balqis. Balqis  terkulat-kulat  segera  dia  menjelaskan  perkara  sebenar. Apabila  perkara  sebenar  sampai  ke  telinga  Wawa, marahnya  menjadi  reda. Wawa  mengajak  sahabatnya  itu  masuk  ke  dalam  rumahnya. Balqis  lega  melihat  riak  wajah  Wawa. Marah  sahabatnya  itu  sudah  tiada. Mereka  memulakan  ‘ study  group’ mereka. Masing-masing  tampil  dengan  pendapat  yang  agak  bernas  apabila  membincangkan  tentang  mata  pelajaran  bahasa  Melayu. Begitulah  keadaan  mereka  apabila  belajar  bersama. Apabila  penat  memerah  otak  mereka, mereka  berdua  akan  pergi  berjalan-jalan  di  sekeliling  kampung.
            Tiada  sesiapa  yang  tidak  mengenali  mereka. Mereka  berdua  amat  terkenal  dalam  kalangan  penduduk  di  kampung  itu. Semua  tahu  tentang  hubungan  akrab  mereka  yang  seperti  isi  dengan  kuku. Mereka  berdua  tidak  boleh  dipisahkan. Boleh  dikatakan  mereka  berdua  ini  kembar  tidak  seiras. Namun  ada  juga  yang  busuk  hati  mengatakan  mereka  mempunyai  hubungan  terlarang  atau  erti  kata  lain  iaitu  lesbian. Balqis  dan  Wawa  tidak  mempedulikan  buah  mulut  orang  lain. Bagi  mereka, hubungan  mereka  berdua  tidak  salah. Jadi  mereka  tidak  perlu  memikirkan  kata-kata  momokan  dari  pihak  yang  tidak  menyukai  perhubungan  mereka.
            Di  sekolah  juga, pelajar-pelajar  lain  cemburu  melihat  mereka  berdua. Cikgu-cikgu  juga  amat  mengenali  mereka  berdua  kerana  mereka  berdua  amat  cerdik. Mereka  sering  bersaing  untuk  mendapatkan  tempat  yang  tinggi  antara  satu  sama  lain. Dan  biasanya, orang  yang   berada  di  tangga  yang  paling  tinggi  adalah  Wawa. Oleh  sebab  itu, Balqis  suka  berdamping  dengan  Wawa.
            Di  suatu  petang  yang  indah, mereka  menjalankan  kegiatan  biasa  mereka. Setelah  penat  menelaah  buku-buku, mereka  pun  berjalan-jalan. Tempat  yang  biasa  mereka  kunjungi  adalah  kolam  yang  berhampiran  dengan  rumah  Balqis. Biasanya  orang  kampung  memanggil  kolam  Pak  Hitam. Entah  kenapa  kolam  itu  dinamakan  kolam  Pak Hitam, mereka  sendiri  tidak  tahu. Ada  khabar  angina  yang  mengatakan  kolam  itu  berpenunggu. Sesiapa  yang  mendekatinya  akan  ditimpa  musibah. Namun  begitu, cerita  tentang  kolam  itu  ditelan  dek  zaman. Budak-budak  kampung  di  situ  sudah  tidak  mengendahkan  cerita  itu. Wawa  juga  tidak  percaya  dengan  kepercayaan  karut  itu. Wawa  percaya  segalanya  terletak  di  tangan  ALLAH S.W.T. Sesiapa  pun  boleh  ditimpa  musibah  jika  ALLAH  S.W.T  mahukannya.
            “ Balqis, kalau  aku  mati  dulu, kau  kena  belajar  untuk  aku  sekali  ye.” Pesan  Wawa.
            “ Apa  pulak  cakap  macam  tu, kita  akan  belajar  sama-samalah.” Balqis  menepuk  bahu  Wawa  perlahan.
            Balqis  tidak  suka  mendengar  perkataan  mati  antara  mereka  berdua. Biarlah  ia  ditentukan  sendiri  oleh  Yang  Maha  Kuasa. Lagipun  dia  akan  lemah  sekiranya  Wawa  tiada  di  sisinya. Percakapan  mereka  tidak  seperti  gadis-gadis  seusia  mereka  yang  kebanyakkannya  akan  bercakap  tentang  gossip  artis-artis. Semuanya  tentang  pelajaran. Wawa  tidak  sukakan  artis. Katanya, memuja  artis  bukannya  apa-apa. Yang  patut  dijadikan  idola  ialah  Rasulullah S.A.W. Balqis  cuma  tersenyum  mendengar  bicara  Wawa. Wawa  amat  matang  pemikirannya.
            Sesekali  Wawa  diusik  oleh  Balqis  tentang  lelaki  idolanya. Wawa  sering  dikaitkan  dengan  lelaki  yang  paling  kacak  di  dalam  kelasnya, Zulkifli. Zulkifli  juga  suka  akan  Wawa  tetapi  Wawa  tidak  mengendahkannya. Lagipun  dia  masih  belasan  tahun, jadi  dia  tidak  perlukan  hubungan  dengan  lelaki  melainkan  kawan. Wawa  sememangnya  cantik, bijak  dan  paling  hebat  ialah  seorang  pelajar  yang  sentiasa  berada  di  tangga  teratas  dalam  tingkatan. Tiada  sesiapa  yang  boleh  menandingi  kepintaran  gadis  itu.
            Sehari  selepas  mendapat  keputusan  Penilaian  Menengah  Rendah (PMR), Balqis  dikejutkan  dengan  kematian  emaknya  akibat  terjatuh  dari  tangga. Seminggu  dia  terperuk  di  dalam  rumah  usangnya. Seminggu  itu  jugalah, dia  tidak  keluar  ke  mana-mana. Setiap  petang, Wawa  akan  menemani  tangis  sendunya. Berbakul-bakul  nasihat  yang  dilemparkan  kepada  Balqis  tetapi  tidak  endahkannya. Letih  Wawa  memujuk, dia  memarahi  pula  Balqis  walaupun  menangis  air  mata  darah, sekalipun  ibunya  tidak  akan  hidup  kembali. Tiada  siapa  pun  yang  boleh  melawan  takdir  ditentukan  oleh-Nya.
            Mendengar  kata-kata  itu, Balqis  tersedar  daripada  kesedihannya. Dia  sepatutnya  tidak  melayani  kesedihan  itu. Dia  harus  bangkit  dengan  semangat  yang  baru. Dia  ingin  menghadiahi  ibunya  dengan  kejayaannya  dalam  pelajaran. Melihat  sahabatnya  sebegitu, Wawa  tersenyum. Dia  tahu  sahabatnya  tidak  mudah  patah  semangat.
            Balqis  akan  cuba  hidup  tetapi  masalah  sekarang  ini  adalah  sumber  kewangan. Siapa  yang  akan  menyara  hidupnya  nanti? Dia  tidak  mempunyai  saudara-mara  di  kampung  itu. Ayah? Entah  di  mana  dia  berada. Balqis  sendiri  tidak  tahu. Setahunya, ayahnya  telah  meninggalkan  keluarga  sejak  dia  berusia  6  tahun  lagi. Sejak  dari  itu, dia  tidak  pernah  merasakan  kasih  sayang  ayah  sendiri. Kadang  kala, dia  berasa  cemburu  terhadap  keluarga  Wawa. Sebuah  keluarga  yang  penuh  dengan  kasih  sayang.
            “ Kau  tinggallah  kat  rumah  aku,” ujar  Wawa.
            “ Tapi…”
            “ Ayah  aku  sedia  menanggung  kau. Dia  dah  anggap  kau  macam  anak  sendiri. Lagipun  kau  masih  bersekolah. Siapa  nak  tanggung?” pujuk  Wawa.
            Balqis  sememangnya  tiada  pilihan  lain. Dia  segera  bersetuju. Lagipun  tiada  sesiapa  di  kampung  itu  menyukai  dirinya. Mereka  menganggap  dirinya  membawa  sial. Ah! Pedihnya  apabila  dituduh  sebegitu. Namun, disabarkan  hatinya. Sabar  itu  ibu  ilmu. Kata-kata  dipetik  daripada  seorang  penceramah  yang  datang  ke  sekolahnya  untuk  memberi  motivasi  ketika  mahu  menduduki  peperiksaan  Penilaian  Menengah  Rendah ( PMR). Sejak  itu, mereka  menjadi  bertambah  rapat.
            Terdapat  banyak  spekulasi  tentang  mereka  berdua. Tetapi  mereka  tidak  mengendahkannya. Peperiksaan  tahun  akhir  semakin  menghampiri  pelajar  di  sekolah  itu. Mereka  pun  bertungkus  lumus  untuk  membuktikan  kemampuan  yang  ada  pada  mereka. Balqis  dan  Wawa  tidak  ketinggalan. Wawa  sering  kali  digerumuni  oleh  pelajar  sekelas  bertanyakan  subjek-subjek  yang  sukar  difahami. Prinsip  Wawa  ialah  jangan  kedekut  dengan  ilmu  yang  kita  ada  kerana  ilmu  itu  akan  bertambah  apabila  kita  memberikan  kepada  orang  lain. Sebab  itulah, Wawa  menjadi  semakin   cerdik.
            Namun  kebelakangan  ini, Balqis  perasan  ada  sesuatu  yang  berlainan  pada  diri  Wawa. Dia  tidak  dapat  menjelaskan  dengan  cara  lisan. Dia  melihat  Wawa  sering  kali  mengadu  yang  dia  sakit  kepala. Balqis  menyuruhnya  ke  hospital  tetapi  ditolaknya. Walaupun  Balqis  tahu  Wawa  tidak  suka  ke  hospital  tapi  dalam  keadaan  yang  amat memerlukan  dia  seharusnya  pergi. Balqis  tidak  boleh  memaksa  Wawa. Setiap  kali  Wawa  mengalami  sakit  kepala, dia  akan  menelan  beberapa  biji  panadol. Untuk  seketika, kesakitan  itu  hilang. Puas  Balqis  menasihatnya  tetapi  sikap  keras  kepalanya  Wawa  tidak  pernah  luntur. Akhirnya  Balqis  membiarkan  sahaja. Di  dalam  hatinya, terselit  perasaan  bimbang  terhadap  kesihatan  sahabatnya  itu.
            Pada  suatu  pagi, Wawa  telah  dibawa  ke  hospital  oleh  ibu  bapanya. Ketika  itu, Balqis  tiada  di  rumah  kerana  menghadiri  aktiviti  kokurikulum. Wawa  ditinggalkan  keraa  pening. Wawa  telah  dibawa  ke  hospital  apabila  dia  tiba-tiba  pengsan  ketika  ingin  menghidangkan  minuman  untuk  ayahnya. Dia  telah  diperiksa  oleh  seorang  doktor. Terbukti  sakit  kepalanya  bukannya  sakit  yang  biasa  tetapi  dia  sedang  menghidap  penyakit  barah  otak. Dan  paling  mengejutkan, penyakitnya  telah  berada  di  tahap  yang  paling  serius. Tiada  apa  lagi  yang  boleh  dilakukan. Virus  penyakit  itu  telah  merebak  ke  setiap  sel  otaknya.
            Air  matanya  ibunya  menitis  laju  mendengar  khabar  berita  itu. Ayahnya  pula  menahan  sebak. Mereka  sama  sekali  tidak  menyangka  ini  takdir  anak  mereka. Wawa  yang  menerima  keputusan  itu  kelihatan  tenang  sekali. Tiada  sesiapa  yang  boleh  melawan  takdir  yang  ditentukan  oleh-Nya. Kata-kata  itu  pernah  diucapkan  kepada  Balqis  ketika  kematian  ibu  Balqis. Kerana  kata-kata  itu, dia  tabah  menghadapinya.
            Wawa  sempat  berpesan   kepada  ibu  bapanya  supaya  merahsiakan  berita  ini  daripada  pengetahuan  Balqis. Dia  tidak  mahu  Balqis  bersedih  dengan  keadaan  yang  menimpa  dirinya. Dan  paling  dia  tidak  ingin  ialah  Balqis  patah  semangat  untuk  belajar. Dia  mahu  melihat  kejayaan  Balqis  walaupun  mungkin  pada  ketika  itu  dia  sudah  tiada  lagi  di  dunia  ini.
            Hari  demi  hari, Balqis  semakin  pelik  melihat  keadaan  Wawa. Dia  sering  ternampak  Wawa  memakan  ubat  yang  banyak. Dan  setiap  kali  dia  bertanya, jawapan  yang  biasa  didengari  dari  bibir  Wawa  ialah  ubat  panadol  sahaja. Dia  sering  berfikir  tentang  kesihatan  Wawa. Adakah  benar  sahabatnya  itu  sihat  walafiat? Persoalan  itu  sering  kali  muncul  di  benaknya. Namun  dia  tidak  bertanya. Takut  Wawa  terganggu  dengan  persoalan  itu.
            Semuanya  terbongkar  apabila  Balqis  mengejutkan  Wawa  tetapi  tiada  respon  yang  diberi. Dia  mencuba  lagi. Dia  menjadi  takut. Lantas  dia  memanggil  ibu  Wawa. Kelihatan  ibu  Wawa  terkejut, terus  dia  berlari  ke  kamar  anaknya. Ayah  Wawa  juga  turut  serta. Tiba-tiba  ibu  Wawa  meraung-raung  sambil  memeluk  anaknya. Balqis  menjadi  pelik. Ayah  Wawa  cuma  menggeleng-geleng.
            “ Kenapa  pak  cik?” soal  Balqis  dengan  perasaan  ingin  tahu.
            “ Wawa  dah  pergi  menemui  penciptanya,” ujar  ayah  Wawa.
            Balqis  tergaman  dengan  berita  yang  disampaikan  itu. Dia  menggeleng, tidak  percaya. Tidak  mungkin  sahabatnya  itu  telah  meninggal  dunia. Tidak  mungkin! Tidak  mungkin!  Dia  cuma  mampu  menjerit  dalam  hati. Dia  mendekati  jasab  yang  tidak  bernyawa  lagi. Matanya  berair.
            Lewat  malam  ketiga  selepas  kematian  sahabatnya  itu, Balqis  menerima  sepucuk  surat  dari  ibu  Wawa. Katanya, dia  terjumpa  surat  itu  di  dalam   bilik  Wawa  sewaktu  mengemas  bilik  itu. Balqis  terus  membaca  surat  itu.
            ‘ Balqis, mungkin  ketika  kau  membaca  surat  ini, aku  sudah  tiada  lagi  di  dunia  nie. Maafkan  aku  sebab  tidak  bagitahu  kau  tentang  penyakit  aku  nie.Maafkan  aku  lagi  sebab  dah  tak  dapat  bersama  kau  dalam  exam, tak  boleh  study  sama-sama  lagi. Tapi  aku  berharap  sangat  kau  berjaya. Kau  masih  ingat  dengan  janji  kita  kat  kolam  dulu  kan. Terima  kasih  sebab  menjadi  sahabat  baikku. Kau  tolonglah  jaga  ibu  dan  ayah  aku. Aku  gembira  ketika  kita  bersama. Sampai  di  sini  sahaja, jagalah  diri  kau  baik-baik. Ingat  pesanku. Sekian.’
            Balqis  telah  habis  membaca  surat  itu, dia  menangis  teresak-esak. ‘ Janji  itu  akan  kutunaikan. Semoga  kau  berbahagia  di  sana.’

BALQIS  tersentak. Peristiwa  itu  masih  bermain-main  di  kotak  ingatannya. Hampir  sedekad  kenangan  itu  berlalu  namun  dia  tetap  mengingati  setiap  detik  yang  memberi  kesan  yang  paling  bermakna  dalam  hidupnya.

2 Tahun  Kemudian

Dia  sampai  di  balai  ketibaan  KLIA. Dia  gembira  kerana  sudah  sampai  kembali  di  Malaysia. Banyak  perubahan  yang  dapat  dilihati. Rindu  pada  Malaysia  kini  terubat. Kalau  dulu, cuma  gambar  menjadi  ubat. Tidak  ketinggalan  apabila  berbual dengan  teman-teman  sekuliah  yang  senegara  dengannya.
            Dia  melangkah  keluar  dan  menahan  sebuah  teksi. Dia  memberitahu  pemandu  teksi  itu  tempat  yang  ingin  ditujui. Sebelum  dia  balik  ke  rumah, ada  satu  tempat yang  ingin  dikunjungi  dahulu. Tempat  yang  paling  dirinduinya. Setengah  jam  kemudian, dia  sampai  di  sebuah  tanah  perkuburan. Tanah  perkuburan  itu  dipandang  sayu. Keheningan  kawasan  itu  amat  memenangkan  hati. Dia  menuju  ke  pusara  di  mana  Wawa  dan  ibunya  dikebumikan. Ibunya  cuma  dikebumikan  bersebelahan  dengan  Wawa. Dia  tersenyum  memandang  kedua-duanya.
            Dia  duduk  membaca  surah  yasin  untuk  kedua-dua  arwah  itu. Setelah  selesai  membaca  surah  yasin  dan  berdoa, dia  mengeluarkan  segulung  kertas  dari  begnya. Segulung  kertas  itu  dipegang  erat  sambil  menangis.
            “ Mak, Balqis  dah  berjaya. Wawa, aku  dah  tunaikan  janji  aku  pada  kau. Tengok, inilah  tandanya.”
            Balqis  menunjukkan  gulungan  kertas  di  tangannya. Dia  tersenyum  sambil  menangis. Di  dalam  hatinya, dia  berdoa  agar  roh  ibu  dan  Wawa  dirahmati   dan  diletakkan  di  tempat  di  mana  orang-orang  yang  dikasihi  oleh  ALLAH S.W.T  berada.

No comments:

Post a Comment