HURIN terjerit-jerit menerima kedatangan uminya. Rindu. Lama benar dia tidak menghabiskan masanya dengan bermain di hadapan rumahnya. Dia berlari-lari mendapatkan uminya. Dia memeluk dan mencium pipi Yuri. Yuri juga membalasnya.
“ Kenapa dengan mata umi? Ayah, kenapa dengan mata umi?” soal Hurin.
Pelik dia melihat mata uminya. Biasanya mata yang cantik itu akan memandang tepat ke arahnya tetapi hari ini kecantikkan itu tidak kelihatan. Yuri yang mendengar terkedu.
“ Hurin, mata umi sakit sekarang ni. Sebab tulah, mata umi tak cantik. Nanti bila mata umi sembuh, ia akan jadi cantik semula,” jelas Hakkai.
“ Betulkah, ayah? Okeylah, nanti Hurin doakan mata umi cepat sembuh,” ujar Hurin dengan petahnya.
Yuri tersenyum. Hakkai memimpin Yuri masuk ke dalam rumah. Puan Anisah menyambut mereka dengan penuh senyuman.
“ Kenapa dengan mata Yuri?” Soalan itu pula yang terlontar daripada mulut Puan Anisah.
“ Accident, Kak Nisa. Kornea dia terkoyak akibat serpihan kaca yang masuk,” jelas Hakkai.
“ Habis tu, tak boleh melihat lagikah?”
“ Kena tunggu. Kalau ada kornea yang sesuai dengan dia ni, kemungkinan dia akan boleh melihat semula,” ucap Hakkai.
“ Akak ni kalau bercakap, tak ingat dunia. Nanti akak ke dapur, buatkan air,” ucap Puan Anisah.
“ Eh, Kak Nisa. Tak payah susah-susah. Sebenarnya kami datang ni nak minta kebenaran Kak Nisa untuk bawa Hurin jalan-jalan,” ucap Hakkai.
“ Betulkah, ayah? Ayah datang nak bawa Hurin jalan-jalan?” Anak itu kelihatan riang sekali.
“ Hurin, tak elok melompat macam tu,” tegur Puan Anisah melihat telatah anaknya.
Yuri tergaman. Dia tidak menyangka yang Hakkai akan membawa Hurin keluar berjalan-jalan.
“ Erg…abang…Kalau macam tu, abang pergilah dengan Hurin,” ucap Yuri dengan nada yang sedikit kecewa.
“ Eh, siapa kata yang sayang akan tinggal kat sini. Sayang pun kena ikut sekali…”
“ Tapi, susah nanti,” pintas Yuri.
“ Abang tak kira, sayang kena ikut jugak.” Hakkai tetap dengan keputusannya yang untuk membawa Yuri bersama.
Puan Anisah tersenyum melihat pasangan itu. Dia mengimbau kembali kenangannya bersama Encik Rahim. Biarpun jodoh mereka berdua ditentukan oleh pihak keluarga namun tetap ada rasa cinta antara mereka berdua. Buktinya, Hurin Aleenda. Hurin lahir selepas setahun mendirikan rumah tangga. Akan tetapi Encik Rahim tidak dapat hidup lama. Dia telah kembali ke Penciptanya.
“ Kak Nisa, kami pergi dulu.” Suara Hakkai mengejutkannya dari kenangan lama.
“ Hati-hati ye. Hurin, behave yourself. Jangan susahkan ayah dan umi ye, sayang,” pesan Puan Anisah sambil mencuit pipi anaknya.
Hurin kelihatan gembira sekali. Yuri dapat mendengar suara riang Hurin. Hakkai memandu dengan tenang.
“ Kita pergi ke Mid Valleylah. Abang nak beli hadiah,” ucap Hakkai.
“ Hadiah apa, ayah?” soal Hurin pantas. Dia kelihatan teruja apabila Hakkai membangkitkan perkara tentang hadiah.
“ Untuk umilah.” Hakkai menjawab acuh tak acuh.
“ Untuk umi je ke? Hurin?” Nada itu kedengaran kecewa.
Yuri mendengar suara Hurin berubah. Dia takut sekali sekiranya anak itu merajuk. Pantas jarinya mencubit paha Hakkai.
“ Adoi, sakitnya. Rupanya abang ada bela ketam, tak sangka ye,” usik Hakkai. “ Mesti ayah nak belikan hadiah untuk Hurin sekali,” sambung Hakkai lagi.
Kedengaran semula suara riang Hurin. Yuri tersenyum.
“ Kita dah sampai,” ucap Hakkai. “ Hurin kena janji dengan ayah tau.”
“ Janji apa?”
“ Yang Hurin akan jadi budak yang baik dan dengar apa yang ayah dan umi cakap,” ujar Hakkai.
“ Okey, Hurin janji.”
“ Jomlah kita keluar.” Hakkai keluar dari kereta dan dia memimpin Yuri keluar. Hurin keluar dari kereta mendapatkan Hakkai dan Yuri.
Mereka pun masuk ke dalam Mid Valley. Keadaan di situ amat sesak. Maklumlah hujung minggu. Tentu ramai yang ingin membeli-belah serta merehatkan minda mereka. Yuri biarpun tidak dapat melihat, dia dapat mendengar riuk-piruk orang yang berada di sekelilinginya.
“ ABANG, mana Hurin?” soal Yuri. Dia tidak mendengar suara Hurin di mana-mana.
“ Eh, mana pulak dia ni? Tadi dia ada kat sini.” Nada bimbang pada suara Hakkai menakutkan Yuri.
“ Abang, cepatlah cari dia,”arah Yuri.
Hakkai menarik lengan Yuri supaya mengikut langkahnya. Ke hulu ke hilir dia mencari Hurin.
“ Adik?” soal seorang perempuan.
“ Auntie ni siapa?” soal Hurin. Pening kepalanya mencari umi dan ayahnya.
“ Adik ni sorang aje, kenapa?” soal perempuan itu.
“ Saya tengah cari umi dan ayah saya. Saya tak jumpa diaorang.” Hurin seperti ingin menangis.
“ Mari auntie tolong cari umi.” Perempuan itu menghulurkan jarinya.
Hurin teragak-agak untuk menerima pelawaan perempuan itu. Dia bukan seorang budak yang bodoh. Dia banyak mendengar cerita tentang perculikan budak-budak. Mamanya juga ada berpesan supaya jangan cuba mengekori orang yang tidak dikenali.
“ Adik, auntie tak akan larikan adik. Auntie ni ikhlas nak tolong adik.” Perempuan itu seakan-akan boleh membaca fikiran Hurin pada ketika itu.
Hurin terdiam. Dia menjadi takut.
“ Hurin.” Panggil seseorang di belakangnya.
Dia berpaling. Terpampang wajah ayah dan uminya. Dia berlari mendapatkan ayahnya dan menangis tanpa mempedulikan perempuan tadi. Perempuan tadi terkejut. Matanya meliar ke arah seorang wanita di sebelah lelaki itu. Seorang yang amat dikenali.
“ Terima kasih kerana tolong jaga anak kami sekejap. Dia memang budak nakal sikit,” ujar Hakkai.
“ Tak adalah. Saya rasa dia ni budak yang bijak kerana tidak mudah mempercayai orang yang tidak dikenali,” puji perempuan itu.
“ Oh, saya Saiful Hakkai. Ni isteri saya, Yukari Hanun dan anak kami, Hurin,” ucap Hakkai memperkenalkan diri.
“ Kenapa dengan…?”
“ Isteri saya ni buta.” Hakkai dapat mengagak persoalan yang timbul dalam fikiran perempuan itu.
“ Saya Huda. Maaflah, saya terpaksa pergi dulu,” ucap Huda cepat-cepat meninggalkan pasangan tersebut.
Yuri tergaman mendengar suara wanita itu. Dia kenal benar dengan suara itu. Huda! Yukihara Huda. Bukan dia tidak kenal.
No comments:
Post a Comment