Monday, March 14, 2011

Erti Cinta




Cinta? Apa  yang  dimaksudkan  dengan  cinta? Zara  benar-benar  tidak  memahami  maksud  cinta  yang  sebenar. Baginya  cinta  itu  satu  perasaan  yang  bodoh  dan  tidak  patut  dilayan. Dia  berasa  meluat  apabila   melihat  kawan-kawannya  bermanja  dengan  kekasih  masing-masing. Perasaan  cinta  itu  tidak  mendatangkan  apa-apa  manfaat  pun. Dia  mahukan  manfaat  yang  sepatutnya  dari  sesuatu  perkara  yang  dibuat.
“ Angah, buat  apa  termenung  kat sini? Dah  siap  ke  kereta  ibu  tu?” tegur  adik  bongsunya, Zahra.
Dia  mengerling  ke  adiknya  itu. Kelihatan  adiknya  itu  cantik  sekali. Mungkin  ingin  keluar  berjumpa  dengan  kekasih  hati. Walaupun  adiknya  itu  baru  masuk  tahun  kedua  di  universiti  tetapi  adiknya  itu  sudah  mempunyai  kekasih.  Tidak  bagi  dirinya. Semasa  di  universiti, dia  banyak  bergual  dengan  lelaki  berbanding  perempuan  kerana  bidangnya  yang  dipilih.
“ Angah  ni  kenapa?” soal  Zahra  buat  kali  kedua  apabila  melihat  kakaknya  itu  tidak  member  respon  pada  tegurannya  tadi.
“ Kau  ni nak  ke  mana? Lawa  je  aku  tengok,” tegur  Zara  pula.
“ Orang  nak  jumpa  Adam. Nak  dating.” Zahra  sahaja  buat  gedik  depan  kakaknya  kerana  dia  tahu  kakaknya  itu  tidak  sukakan  apabila  dia  memberitahu  yang  dia  akan  keluar  berjumpa  dengan  Adam.  Walaupun  bagaimanapun, kakaknya  itu  tidak  pernah  menghalang. Kakaknya  itu  cuma  menegur.
            “ Buat  apa  kau  jumpa  dia? Dapat  duit  ke?” sindir  Zara  pula.
            “ Memanglah  tak  dapat  duit…”
            “ Habis  itu  buat  apa  jumpa  dia? Dapat  penat  adalah,” pintas  Zara.
            “ Angah  tak  pernah  nak  ada kekasih. Angah  tak  akan  rasa  perasaan  orang  yang  bercinta. Angah  cubalah  ada  kekasih  nanti. Confirm  macam  Zahra  jugak. May  be  lebih  teruk  dari  Zahra,” ucap  Zahra.
            “ Whatever,” ujarnya  sepatah. Dia  menyambung  kembali  kerjanya  yang  tergendala. Membaiki  kereta  ibunya  yang  rosak. Dia  memang  meminati  kerja-kerja  sebegini. Jadi  tidak  hairanlah  kalau  dia  mempunyai  ijazah  dalam  bidang  mekanikal. Bidang  yang  kebanyakkannya  dimonopoli  oleh  golongan  lelaki.
            Pada  mulanya  dia  ingin  memiliki  segulung  ijazah  dalam  bidang  mekanikal  marin  namun  ibunya  itu  tidak  membenarkan. Jadi  dia  pun  memiliki  ijazah  dalam  bidang  kejuruteraan  mekanikal  automotif.


Pagi-pagi   lagi  dia  telah  dialami  api  kemarahan. Ketika  dia  mahu  meletakkan  keretanya  di  tempat  biasa, ada  kereta  yang  masuk  ke  tempat  letak  keretanya. Dia  memang  pantang  sekiranya  ada  orang  yang  mengambil  hak  miliknya. Dia  keluar  dari  keretanya  dan  menuju  ke  tuan  milik  kereta  tersebut. Kebetulan  tuan  milik  kereta  itu  baru  sahaja  keluar  dari  keretanya.
            “ Encik, baik  kau  alih  kereta  kau  sekarang. Ini  tempat  aku,” ucap  Zara  dengan  nada  yang  kasar.
            “ Tak  ada  nama  kau  kan? Jadi  kenapa  aku  kena  alihkan   kereta  aku? Siapa  yang  dulu, dia  yang  punya,” balas  tuan  milik  lelaki  itu.
            “ Sebelum  tangan  aku  naik, baik  kau  alih,” ugut  Zara  lagi.
            “ Kalau  aku  tak  nak, macam  mana?” soal  tuan  milik  kereta  itu.
            “ Inilah  yang  kau  akan  dapat.” Sebaik  sahaja  kata-kata  itu  habis  diucapkan, tangan  Zara  naik  ke  muka  lelaki  itu. Lelaki  itu  jatuh  ke  atas  jalan. Zara  tersengih. Lelaki  itu  cepat-cepat  bangun. Dia  ingin  membalas  apa  yang  Zara  lakukan  padanya. Belum  sempat  dia  mengangkat  tangan, kedengaran  suara  seorang  lelaki  menghalang  pergaduhan  yang  bakal  tercetus.
            “ Kenapa  ni?” soal  Tuan  Hairi, selaku  bos  tempat  kerja  Zara.
            “ Bos, lelaki  itu  yang  cari  pasal  dengan  saya. Saya  dah  cakap  ini  tempat  saya  tapi  dia  tak  nak  dengar. Saya  apa  lagi, panaslah,” terang  Zara.
            “ Siapa  yang  lambat? Kau  kan? Siapa  dulu, dialah  yang  punya,” balas  lelaki  itu  pula.
            Zara  yang  sememangnya  panas  dengan  lelaki  itu  ingin  menumbuk  lelaki  itu  tetapi  dihalang  oleh  Tuan  Hairi. Zara  buat  muka  sinis  kepada  lelaki  itu.
            “ Zara, awak  patut  jaga  kelakuan  awak. Awak  tu  perempuan. Kena  jaga. Janganlah  ganas  sangat. Nanti  tak  ada  orang  nak  pada  awak. Dan  Shah, alih  kereta  Shah. Abang  Long  dah  setkan  ni  tempat  si  Zara  ni. Tak  kanlah  Shah  tak  boleh  mengalah  dengan  perempuan?” ucap  Tuan  Hairi.
            “ APA?? PEREMPUAN??” Lelaki  yang  bernama  Shah  itu  meneliti  perempuan  yang  bernama  Zara  itu. Betul  ke  dia  ni  perempuan? Aku  ingat  mamat  jambu  tadi. Patutlah  muka  macam  perempuan, rupanya  perempuan  betul. Tapi  perangai  sebijik  macam  jantan. Tak  layak  langsung  jadi  bini, calon  bini  pun  belum  tentu  layak, desis  hati  Shah.
            Zara  yang  sudah  meletakkan  keretanya  berlalu  masuk  ke  pejabat. Di  fikirannya, dia  memikirkan  tentang  lelaki  tadi. Lelaki  itu  memanggil  Tuan  Hairi  dengan  nama  abang  long. Tentu  lelaki  itu  merupakan  adik  kandung  Tuan  Hairi  yang  dikatakan  baru  balik  dari  US. Patutlah  bangang  sangat. Aku  rasa  aku  macam  lupa  sesuatu  yang  penting. Alah, lelaki  tu  yang  kena  kerja  dengan  aku  nanti. Masak… Macam  mana  aku  nak  kerjasama  dengan  dia?
            Zara  masuk  ke  biliknya. Tidak  berapa  lama  kemudian, dia  telah  dipanggil  oleh  Tuan  Hairi  ke  bilik  mesyuarat. Kesemua  kakitangan  syarikat  itu  diarahkan  ke  bilik  mesyuarat. Dia   melihat  Tuan  Hairi  sedang  bercakap  dengan  lelaki  itu. Matanya  bertembung  dengan  lelaki  itu. Dia  memberi  pandangan  sinis  kepada  lelaki  itu.
            “ Baiklah, saya  rasa  semua  dah  ada  kat  sini. Saya  nak  kenalkan  kamu semua  pada  bakal  bos  baru  kamu. Dia  adik  saya  yang  baru  balik dari  US. Tuan  Shahrul  Zafran. Saya  rasa  kamu  semua  dah  tau. Zara, saya  nak  awak  yang  bimbing  Shah,” ucap  Tuan  Hairi.
            “ Kenapa  dia  Bang  Long? Tak  ada  orang  lain  ke?” soal  Shah  dengan  laju.
            “ Kat  sini, dia  pekerja  yang  paling  lama. Dia  seorang  pekerja  yang  bagus. Dia  boleh  bimbing  Shah,” ucap  Tuan  Hairi.
            Shah  memandang  sekilas  pada  Zara. Kelihatan  Zara  membalas  pandangannya  dengan  pandangan  yang  sinis. Hisy, kenapalah  malang  nasib  aku  dengan  kerja  dengan  tomboy  yang  tak  sedar  diri  ini… Shah  telah  ditempatkan  di  sebelah  bilik  Zara  supaya  memudahkan  kerjanya.
            Selesai  perjumpaan  itu, Zara  masuk  ke  biliknya  menguruskan  kerjanya  yang  tertangguh. Dia  cuba  untuk  fokus  pada kerjanya  tetapi  tidak  berjaya. Dia  berfikir  bagaimana  untuk  bekerja  dengan  lelaki  itu. macam  mana  kerja  yang  berkesan  kalau  masing-masing  nak  ikut  kepala  sendiri. Dia  menggaru  kepalanya  yang  tidak  gatal  itu.
            Dia  mengambil  keputusan  untuk  masuk  ke  bilik  Shah. Dia  mengetuk  bilik  lelaki  itu. Apabila  mendengar  arahan  masuk, dia  terus  masuk. Kelihatan  lelaki  itu  sedang  membelek  fail. Dia  buat-buat  batuk. Shah  mengangkat  muka. Dia  terkejut  apabila  melihat  tomboy  itu  berada  di  hadapan  mejanya  sekarang.
            “ Kau  nak  apa?” soal  Shah  dengan  nada  yang  angkuh.
            “ Aku  nak  minta  maaf pasal  tadi. Aku  tak  sengaja. Aku  ni  panas  baran  sikit. Aku  harap  masa  kerja  kita  boleh  jadi  seorang  yang  professional. Aku  nak  kerja  kita  berjaya. Aku  tak  kisah  kalau  kau  tak  nak  maafkan  aku. Janji  kerja  kita  bereh. Okey  tu  je  yang  aku  nak  cakap. Sambunglah  kerja  kau  tadi,” ucap  Zara  dengan  panjang  lebarnya.
            Shah  yang  terkedu  mendengar  ucapan  maaf  dari  tomboy  itu. Dia  tidak  menyangka  yang  tomboy  itu  pandai  meminta  maaf. Dia  ketawa  dalam  hati. Mungkin  dia  sudah  silap  menilai  peribadi  tomboy  itu. Mungkin  hidupnya  lebih  seronok  nanti.
           

            “ Angah, bila  kau  nak  kahwin? Umur  Angah  bukannya  muda  lagi.” Soalan  itulah  yang  paling  tidak  digemari  oleh  Zara. Ibunya  sering  bertanya  soalan  yang  sama. Kalau  soalan  lain, dia  boleh  tahan. Ini  soalan  bab  kahwin. Dia  memang  tak  tahan  kalau  ibunya  sudah  masuk  bab  kahwin. Kalau  ibunya  sudah  masuk  bab  kahwin, dia  buat  telinga  pekak  badak. Agaknya  badak  pun  tak  pekak  macam  dia.
            “ Along  kau  pun  dah  lama  kahwin. Anak  pun  dah  tiga. Kau  bila  lagi? Ibu  risau  dengan  kau,” ujar  ibunya  lagi  meluahkan  kerisauan  yang  melanda  dirinya  tentang  anaknya.
            “ Alah, ibu…nantilah. Angah  muda  lagi. Baru  26. Sekarang  ramai  orang  kahwin  umur  30. Lagipun  Angah  tak sampai  seru  lagi,” ucap  Zara  sambil  menghirup  air  minumannya.
            “ Alah, Angah  tu  bukan  apa  ibu…Takut  dengan  lelaki  sebenarnya,” sampuk    Zahra.
            “ Apa  kau  cakap? Sebenarnya  lelaki  yang  takut  kat  aku  ni,” ujar  Zara. “ Yang  kau  tu  setiap  hujung  minggu  tak  lekat  kat  rumah, elok  sangatlah. Jumpa  selalu  pun  tak  elok.” Zara  mengambil  peluang  itu  untuk  mengenakan  adik  bongsunya.
            “ Sekurang-kurang, Zahra  ni  normal. Tak  macam  Angah. Tak  normal,” bidas  Zahra  pula.
            “ Apa  yang  tak  normalnya? Aku  ada  semua  yang  kau  ada  kan,” balas  Zara  pula.
            “ Angah  tu  tak  ada  perasaan  kat  lelaki. Tu  yang  tak  normalnya,” ujar  Zahra.
            “ Kau  ni  kan  nak  kena  dengan  aku  agaknya.” Dia  cuba  untuk  memukul  adiknya  tetapi  suara  ibunya  membantutkan  niatnya.
            “ Angah, Zahra, kita  tengah  makan  ni. Budak  ni  kan…Makan. Nanti  kalau  dah  habis  makan. Kau  berdua  pergilah  bergusti  kat  depan  tu. Biar  ibu  jadi  pengadil,” sampuk  ibunya  pula.
            “ Ibu  ni  ada  pulak  suruh  kita  bergusti  kat  depan  tu. Malulah,” ucap  Zahra.
            “ Habis  yang  kau  berdua  nak  bergaduh  depan  rezeki  ni  tak  malu  pulak?” soal  ibunya.
            “ Angah  yang  mula  dulu. Bukan  Zahra,” ucap  Zahra.
            “ Budak  ni  menjawab  pulak  dia. Sudah  makan,” arah  ibunya.
            Zara  memang  lebih  suka  mendiamkan  diri  apabila  ibunya  masuk  campur  dalam  pergaduhan  antaranya  dan  Zahra. Zahra  pula  suka  menjawab  apabila  ibunya  menegur. Itulah  sikap  Zara. Dia  tidak  suka  menjawab. 15  minit  kemudian, mereka  sudah  siap  berkemas. Zara  ke  ruang  tamu untuk  menonton  berita. Sedang  berseronok  dia  melayan  berita, adiknya  datang  duduk  di  sebelahnya.
            “ Hah, yang  kau  ni  tak  puas  hati  apa  lagi  dengan  aku? Tepilah  sikit. Aku  nak  tengok  berita. Panaslah.” Dia  menolak  adiknya  ke  tepi. Matanya  tidak  lari  daripada  menonton  berita.
            “ Angah, Zahra  nak  tanya  ni. Angah  kena  jawab  betul-betul. Tak  boleh  tipu,” ujar  Zahra.
            “ Soalan  pulak  ni? Cepatlah  tanya. Kau  ni  tak  boleh  tengok  aku  senang  sikit,” gesa  Zara.
            “ Angah  ada  minat  mana-mana  lelaki  tak?” Fuh. Soalan  maut  buat  Zara. Serentak  dengan  itu, terlintas  dalam  kepalanya, wajah  Shah. Kenapa  dengan  aku  ni? Terbayang  lelaki  itu  pulak. Bukannya  kacak  sangat  pun. Dahlah  suka  gaduh  dengan  aku. Hisy..mana  mungkin  aku  suka  kat  dia.
            “ Angah, jawablah..” gesa  Zahra.
            “ Hisy  kau  ni  tanya  soalan  bodoh  tu  kat  aku. Kau  pun  tanya  jawapan  aku. Tak  ada  langsung. Menyusahkan  aku  je  kalau  aku  ni  macam  kau. Minah  cinta,” ujar  Zara.
            Zahra  menggaru  kepalanya  yang  tidak  gatal  itu. Dia  tahu  yang  kakaknya  ada  meminati  seseorang. Dia  dapat  membaca  air  muka  kakaknya  apabila  ditanya  tentang  soalan  itu. Dan  dia  pasti  kakaknya  itu  masih  tidak  menyedari  perasaannya  terhadap  lelaki  itu. Dia  ketawa  dalam  hati.


KEESOKKAN  harinya, Zara  ke  Pejabatnya  dengan  memikirkan  pertanyaan  Zahra. Sudah  berkali-kali  dia  menyuruh  otaknya  supaya  tidak  memikirkan  perkara  itu. Hari  ini  ada  mesyuarat  dengan  Tuan  Hairi. Dia  tidak  dapat  fokus  pada  kerjanya  hari  ini. Kenapa  dengan  aku  ni? Nak mampus  ke? Hisy, kau  ni  Zara  cakap  baik-baik. Jangan  buat  hal. Hari  ni  ada  meeting dengan  Tuan  Hairi.
            Dalam  keadaan  yang  tengah  berangan, dia  berlanggar  dengan  dinding. Dia  mengaduh. Dia  memegang  dahinya. Dia  dapat  merasa  yang  permukaan  dahinya  tidak  rata  seperti  biasa. Dahinya  berdenyut  kuat. Masuk  ke  biliknya, dia  duduk  sambil  memegang  dahinya. Dia  menjadi  lupa  dengan  mesyuarat  yang  patut  dia  dihadiri.
            Sedang  dia  sibuk  memeriksa  dahinya, dia  dikejutkan  dengan  kehadiran  Shah  di  muka  pintu. Dia  memandang  Shah  seperti  dia  sedang  memandang  hantu.
            “ Kenapa  dengan  kau  ni? Tengok  aku  macam  hantu. Dah, cepat  kita  ada  meeting  dengan  Tuan  Hairi. Kau  jangan  buat  lupa  pulak. Hari  ini, kau  yang  buat  presention,” tegur  Shah.
            “ Aku  lupa  pulak. Dah  pukul  berapa  sekarang?” Zara  menepuk  dahinya. Dia  menjerit  kesakitan. Salahnya  kerana  menepuk  kuat  dahinya. Sudahlah  dahinya  tadi  terlanggar  dinding. Dia  mengosok  perlahan  dahinya.
            “ 5 minit  lagi. Cepatlah, ambil  fail  tu,” arah  Shah.
            Zara  kelam-kabut  mengambil  fail  projek  dan  menuju  ke  bilik  mesyuarat. Semasa  dia  masuk, kelihatan  Tuan  Hairi  dan  beberapa  orang  pemegang  saham  sudah  berada  di  dalam  bilik  itu. Zara  memohon  maaf  atas  kelewatannya. Dia  mengambil  tempat  di  sebelah  Shah.
            Dia  memulakan  pembentangan  tentang  projek  yang  bakal  diadakan  di  Perlabuhan  Klang. Dia  memberi  pembentangan  dengan  penuh  keyakinan. Kebanyakkan  pemegang  saham  di  situ  bersetuju  dengan  kerja  yang  dibentangkan. Tuan  Hairi  mengangguk-angguk. Selesai  mesyuarat  itu, Zara  mampu  tersenyum  manis. Hasil  kerjanya  bersama  Shah  selama  sebulan  telah  mendatangkan  hasil  yang  amat  memberansangkan.
            Shah  yang  melihat  senyuman  manis  di  bibir  Zara  seperti  terpukau.  Dia  seperti  sedang  bertemu  dengan  orang  yang  lain. Bukan  Zara  yang  biasa. Kenapa  aku  fikir  yang  bukan-bukan? Dia  tu  Zara. Ingat! Dia  tu  tomboy. Mana  boleh  aku  minat  kat  tomboy. Tak  ada  taste  langsung, desis  Shah.
            “ Bro, jom  kita  lunch  sama. Aku  lapar  ni,” ajak  Zara.
            Zara  cepat  melangkah  sehingga  kakinya  tersepak  sesuatu. Dia  dapat  merasakan  dia  akan  jatuh  terlentang  di  atas  lantai. Dapat  dibayang  kesakitan  yang  bakal  dialami. Dia  memejamkan  matanya  serapat  mungkin. Lama. Dia  berasa  pelik. Kenapa  tak  rasa  sakit  pun? dia  membuka  matanya. Matanya  bertentang  dengan  mata  Shah. Matanya  langsung  tidak  berkelip. Shah  pula  merenung  sedalamnya  ke  arah  mata  Zara.
            Ada  gelora  di  hati  Zara. Naluri  kewanitaannya  sedikit  tersentuh. Ada  sesuatu  terdetik  di  hatinya. Hatinya  mula  berdebar kuat. Kenapa  ni? Shah  yang  tersedar  melepaskan  pelukannya  di  pinggang  Zara. Zara  pula  membetulkan  dirian. Dia  menjadi  malu  kepada  Shah. Dia  berpaling  ke  belakang. Dia  menggeleng-geleng.
            “ Bro, aku  tak  jadi  pergi  lunchlah. Tiba-tiba  je  aku  tak  lapar. Kau  pergilah.” Zara  berlari  ke  ladies. Dia  membasuh  mukanya. Dia  memandang  tepat  ke  cermin  ke  hadapannya. Dia  mengeluh. Kenapa  dengan  aku  ni? Dah  gila  ke? Betul  ke  aku  dah  jatuh  cinta? Jatuh  cinta? Tak  mungkin. Tapi  perasaan  tadi? Apa  perasaan  tu  sebenarnya? Dia  membasuh  mukanya  sekali  lagi.
            Selepas  itu, dia  keluar  dari  ladies. Perutnya  minta  diisi. Dia  mengerling  ke  arah  jam  tangannya. Sudah  pukul  satu  setengah. Kalau  nak  makan  kat  luar, dah  tak  sempat  ni. Kalau  nak  kat  café, malas  rasanya  nak  turun  ke  bawah. Rasanya  aku  skip  lunch  hari  ni. Kakinya  melangkah  ke  pantry. Namun  langkahnya  terhenti  apabila  mendengar  suara  orang  berbual-bual  di  dalam  panty.
            “ Apa  maksud  Bang  Long? Kami  tak  bercinta  pun. Shah  dengan  dia  kawan. Tak  ada  apa-apa  hubungan  pun. Bang  Long  dah  salah  faham   ni. Shah  cuma  bergaul  dengan  dia  sebab  kerja. Kalau  tak  jangan  harap  Shah  nak  bercakap  dengan  perempuan  macam  dia  tu. Tak  macam  perempuan  langsung. Tak  ada  langsung  ciri-ciri  kewanitaan. Perempuan  macam  tu  yang  Bang  Long  nak  Shah  jadikan  isteri? Tolonglah  Bang  Long, jangan  nak  buat  lawak  kat  sini.” Suara  Shah  bergema  kuat  di  dalam  bilik  pantry.
            “ Shah, jangan  cakap  macam  tu. Dia  tu  nampak  je  kuat  tapi  dia  tetap  perempuan. Hati  perempuan  ni  lembut. Kalaulah  dia  dengar  apa  yang  Shah  cakap  tadi, dia  pun  akan  kecil  hati  dengan Shah,” tegur  Tuan  Hairi.
            “ Shah  tak  kisah  pun  kalau  dia  kecil  hati. Even  dia  nak  berhenti  kerja  sebab  dengar  Shah  mengata  dia  pun, Shah  tak  kisah. Tapi  Shah  tak  rasa  dia  akan  berhenti  kerja  sebab  ni.” Shah  masih  bercakap  dengan  nada  yang  kuat  tanpa  menyedari  Zara  berada  di  sebalik  pintu  masuk  pantry.
            Zara  yang  mendengar  bait-bait  kata  dari  Shah  amat  tersinggung. Dia  tidak  menyangka  yang  Shah  langsung  tidak  menyukai  perwatakannya  selama  ini. Dia  sangka  yang  Shah  sudah  boleh  menerima  caranya. Kenapa  aku  kecewa  dengar  kata-kata  dari  dia? Kenapa? Tidak  disangka  air  matanya  sudah  bergenang  jatuh  ke  pipi.
            Dia  melarikan  dirinya  dari  tempat  itu. Dia  tidak  mampu  lagi  untuk  berdiri  lama  di  situ  mendengar  cacian  dari  mulut  Shah. Dia  sudah  tidak  ingat  apa-apa  lagi  melainkan  mahu  balik  ke  rumahnya. Dia  masuk  ke  biliknya  mengambil  kunci  kereta  dan  bergegas  keluar  dari  situ.
            Sampai  di  rumah, dia  berlari  masuk  ke  biliknya  sambil  menangis. Kebetulan  Zahra  berada  di  laman  rumah  mereka  terkejut  melihat  keadaan  kakaknya  yang  berlari  masuk  tadi. Dia  juga  terkejut  melihat  kakaknya  itu  menangis. Sepanjang  dia  mengenali  kakaknya,  kakaknya  itu  amat  susah  mengeluarkan  air  matanya.
            Dia  masuk  ke  bilik  kakaknya. Kakaknya  itu  masih  lagi  menangis. Perlahan-lahan  dia  mendekati  kakaknya. Dia  menyentuh  lembut  bahu  kakaknya. Kakaknya  itu  tidak  menghiraukan  kehadirannya   di  situ  dan  terus  menangis.
            “ Angah, kenapa  ni?” Dia  bertanya  dengan  lembut.
            “ Zahra, kau  pernah  cakap  yang  cinta  itu  indah  kan? Tapi  kenapa  cinta  aku  tak  seindah  yang  kau  cakapkan? Kenapa  aku  kecewa? Kenapa?” Zara  menangis  dengan  kuat.
            Zahra  yang  mendengar  terkejut. Kakaknya  telah  jatuh  cinta  tetapi  cinta  itu  tidak  berbalas. Dia  memeluk  bahu  kakaknya.
            “ Angah, tak  semestinya  semua  cinta  itu  indah. Kadang-kadang  cinta  itu  ada  yang  menyakitkan. Kadang-kadang  juga, cinta  yang  menyakitkan  itu  akhirnya  menjadi  cinta  yang  indah. Sabarlah, Angah. Zahra  percaya  yang  satu  hari  nanti  Angah  akan  jumpa  cinta  sejati. Sekarang  Angah  menangis  sepuas-puasnya. Lepas  ni, jangan  nangis  lagi. Muka  Angah  buruklah  bila  menangis.” Zahra  sempat  lagi  membuat  lawak.
            Zara  terus  menangis. Dia  ingin  menangis  sepuasnya. Dia  tidak  mahu  menangis  lagi selepas  ini. Biar  apa  yang  terjadi.


Surat  yang  ditunggu  sudah  sampai. Dia  tersenyum  manis. Surat  dari  Unversiti  Yokohama, Jepun  diteliti  sekali  lagi. Sudah  lama  dia  bercadang  untuk  pelajaran  ke  peringkat  yang  lebih  tinggi. Sudah  dia  tidak  menjejakkan  kakinya  ke  Jepun. Dan  hari  ini, dia  diberi  peluang  sekali  lagi  untuk  ke  Jepun. Dia  ke  kedai  bunga  ibunya. Dia  mahu  memberitahu  ibunya  dahulu.
            “ Ibu, Angah  datang  ni.” Dia  menjerit  apabila  masuk  ke  kedai  ibunya.
            Ibunya  yang  berada  di  kaunter  bayaran  sedang  melayan  pelanggan  menjeling  tajam. Dia  menutup  mulutnya. Pandangan  mata  ibunya  semacam  aje. Dia  merayau-rayau  sekeliling  kedai  ibunya. Banyak  bunga  yang  cantik. Dia  mengambil  sekuntum  bunga  ros  berwarna  putih. Belum  sempat  dia  berbuat  apa-apa  dengan  bunga  tersebut, ibunya  menarik  bunga  itu  dari  tangannya.
            “ Jangan  nak  rosakkan  bunga  ni. Ibu  bukan  tak  tahu  dengan  perangai  kau. Suka  rosakkan  bunga. Hah, kenapa  kau  datang  sini? Ini  mesti  ada  sesuatu  nak  bagitahu  ibu.” Tegur  ibunya.
            “ Ibu  ni  memang  tahu  je. Sebenarnya  Angah  nak  beritahu  tentang  surat  yang  Angah  dapat  pagi  tadi. Tentang  tawaran  sambung  belajar. Di  Jepun.” Terang  Zara.
            “ Belajar? Bila  masa  kau  pohon  belajar? Ibu  tak  tahu  pun,” soal  ibunya.
            “ Dah  lama. Sekarang  baru  dapat  dia  punya  jawapan. Ibu  kasi  tak  Angah  pergi  ni?” soal  Zara  meminta  kebenaran.
            “ Kau  nak  belajar  kan? Pergilah. Kena  jaga  diri. Tapi  kenapa  kau  tak  sabar-sabar  nak  bagitau  ibu  ni? Kat  rumah  kan  boleh,” soal  ibunya  pula.
            “ Alah  ibu  ni. Angah  nak  pergi  JPA. Nak  isi  borang  lagi. Lagi  cepat  lagi  bagus,”  ujar  Zara.
            “ Hello, anyone  body  here?” Suara  seseorang  singgah  di telinga  Zara. Suara  tidak  asing  baginya. Dia  terkejut  lantas  menyembunyikan  wajahnya. Ibunya  pergi  melayan  pelanggan. Dia  mengintai  dari  belakang. Kelihatan  Shah  bersama  seorang  wanita  yang  cantik. Dia  menjadi  cemburu  dengan  gelagat  Shah  dengan  wanita  itu.
            Mungkin  itulah  wanita  idaman  Shah. Nampak  amat  feminim  sekali. Sesuai  dengan  citarasa  Shah. Dia  menjadi  sedih  dengan  tiba-tiba. Kenapa? Kenapa  bukan  aku? Dia  menangis  teresak-esak  di  stor  kedai  ibunya. Dia  tidak  dapat  menahan  kesedihan  yang  dialami.
            “ Angah  kenapa  ni?” soal  ibunya  lembut.
            Zara  terkejut  melihat  ibunya  berada  di  sebelah. Dia  mengesat  pantas  air  matanya. Dia  melihat  ibunya. Lantas  tersenyum. Ibunya  juga  tersenyum  manis. Dia  cuba  dengan  kuat  untuk  tersenyum  kepada  ibunya  tetapi  ia  tidak  tahan  lama. Dia  mula  menangis  lagi. Ibunya  memeluk  bahunya.
            “ Kenapa  dengan  anak  ibu  ni?” soal ibunya sekali  lagi.
            “ Ibu, kenapa  Angah  tak  macam  perempuan? Kenapa  Angah  macam  lelaki? Kenapa  dia  tak  sukakan  Angah? Kenapa  ye  ibu?” Zara  menangis  di  bahu  ibunya.
            Ibunya  tersenyum  manis  sambil  mengusap  kepala  Zara. Tahulah   dia  yang  anaknya  sedang  mengalami  masalah  cinta. Bukan  Zara  seorang  sahaja  yang  mengalami  perasaan  sekarang. Dia  juga  pernah  mengalaminya. Dia  tahu  siapa  lelaki  yang  berjaya  mencari  hati  anaknya. Tentu  lelaki  yang  datang  ke  kedainya  tadi. Dia  perasan  gelagat  Zara  yang  serba  tak  kena  ketika  mendengar  suara  lelaki  itu.
            “ Sabarlah  sayang. Ibu  tahu  anak  ibu  ni  seorang  yang  kuat. Mungkin  semua  ini  ada  hikmahnya. Setiap  yang  berlaku, ada  buruk  dan  baik. Jadi  kita  kena  Terima  apa  yang  ditetap  oleh- Nya. Sebab  ni  ke, kau  nak  ke  Jepun?”soal ibunya.
            “ Ni  salah  satu  sebabnya,” jawab  Zara.
            “ Pergilah, ibu izinkan. Ibunya  memberi  kebenaran  sekali  lagi. Dia  mahu  anaknya  mengubat  kesedihan  di  hati.
           

2  Tahun  kemudian.
           

DIA  berjalan  masuk  ke  bilik  tutorial  12. Banyak  mata  yang  tertumpu  ke  arahnya. Dia  berpaling  sambil  menghulurkan  secebis  senyuman  kepada  mereka  semua. Dia  membuka  komputer  riba  yang  berada  di  atas  meja.  Dia  memberi  penerangan  tentang  tugasan  yang  akan  dilakukan  sebentar  lagi.
            “ Sekarang, saya  nak  awak  semua  berpecah  kepada  4  kumpulan. Jangan  lebih  daripada  3  orang. Buat  perbincangan  tentang  topik  yang  saya  terangkan  tadi. Saya  nak  awak  semua  bentangkan  next  class. Dan  sebelum  saya  terlupa, Najmi, nanti  awak  datang  jumpa  saya  di  bilik  saya,” arah  Zara  kepada  kelas  tutorialnya.
            “ Kenapa  saya  sorang, cik  Zara?” soal  Najmi.
            “ Saya  ada  perkara  nak  dibincangkan  dengan  awak ,” ucap  Zara  pula.
            Zara  keluar  dari  bilik  tutorial  itu  dan  menuju  ke  biliknya. Sampai di  biliknya, dia  melabuhkan  punggung  ke  kerusi  sambil  melepaskan  lelah. Kerjanya  sekarang  lebih  mudah  berbanding  dulu. Dia  cuma  masuk  dan  memberi  kuliah  kepada  para  pelajar  kejuruteraan  mekanikal. Ramai  pelajar  terutamanya  pelajar  lelaki  yang  tidak  percaya  dia  merupakan  pensyarah  kejuruteraan  mekanikal.
            “ Cik  Zara, boleh  saya  masuk?” soal  Najmi.
            “ Masuklah.”
            “ Apa  perkara  yang  cik  Zara nak  bincangkan  dengan  saya  ni?”
            “ Kenapa  saya  tengok  awak  selalu  hilang  tumpuan  dalam  kelas  saya? Saya  juga  ada  perasan  yang  keputusan  awak  semakin  tidak  memberansangkan  terutama  sekali  dalam  subjek  saya. Awak  ada  masalah  apa?”soal  Zara.
            Najmi  kelihatan  tergaru-garu  kepala. Zara  tahu  Najmi  sedang  memikirkan  alasan  yang  sesuai  yang  ingin  diberikan  kepadanya. Dia  pernah  melalui  keadaan  ini. Najmi  masih  lagi  diam.
            “ Cinta?”
            “ Eh..eh..tak  adalah, cik  Zara.” Najmi  kelihatan  begitu  gelabah.
            Zara  tersenyum. Tepat  sekali  sangkaannya. Pelajarnya  itu sedang  mengalami  masalah  dalam  percintaan. Dia  sudah  mengagak.
            “ Najmi, cinta  tanpa  masalah  takkan  indah. Kenapa  awak  nak  bebankan  kepala  awak  dengan  masalah  itu?  Awak  masih  muda. Fikir  tentang  mak  dan  ayah  awak. Mereka  nak  awak  berjaya. Saya  nasihatkan  awak  belajar  dulu. Masa  kerja  nanti, baru  cari  cinta,” nasihat  Zara  kepada  Najmi
“ Cik  Zara  pernah  bercinta?” soal  Najmi  spontan.
Zara  terkejut  namun  dia  mengawal  riak  mukanya. Dia  menyembunyikan  dengan  senyuman  manis. Najmi  yang  tersedar  pertanyaan  itu  tidak  patut  ditanya  segera  meminta  maaf.
            “ Tak  apa, Najmi. Saya  ni  tak  pernah  bercinta  pun  tapi  jatuh  cinta  tu  adalah,” jawabnya  selamba.
            “ Takkanlah…orang  secantik  Cik  Zara  ni  tak  ada  orang  yang  nak?” usik  Najmi.
            “ Saya  ni   pun  ada  yang  kurang… sebab  tu  dia  tak  nakkan  saya,” keluh  Zara.
            Najmi  berasa  menyesal  bertanya  soalan  itu  kepada  pensyarahnya. Zara  tersenyum  melihat  Najmi  yang  serba-salah. Gelabah  jugak  budak  nie, desis  hatinya.
            “ Tak  perlulah  awak  buat  muka  macam  tu. Lucu  saya  melihatnya. Sudah. Mulai  hari  ni, awak  kena  bersikap  professional. Jangan  jadikan  masalah  cinta  sebagai  masalah  utama  dalam  hidup.” Zara  tersenyum manis.
            Zara  memandang  Najmi  keluar  dari  bilik. Dia  terkejut  melihat  jam  tangannya. Sudah  pukul  5.30  petang. Dia  masuk  pulang  ke  rumahnya  kerana  dia  mahu  memasak  sesuatu  untuk  ibunya  sempena  hari  lahir  ibunya. Dia  bergegas  berkemas. Sampai  di  keretanya, dia  masuk  dan  memandu  keluar  dari  kawasan  university  itu. Dia  singgah  di  pasaraya  Tesco  untuk  melihat  yang  sudah  kehabisan.
            Semasa  dia  mahu  mengundurkan  keretanya, dia  tertekan  minyak  terlampau  banyak  mengakibatkan  dia  telah  terlanggar  sebuah  kereta  yang  baru  masuk. Dia  terkejut. Dia  melihat  seorang  lelaki  keluar  dari  kereta  itu  dengan  keadaan  yang  marah. Dia  juga  keluar  dari  kereta  itu  bertujuan untuk  meminta maaf.
            “ Saya  minta  maaf  encik. Saya  tak  sengaja,” ucapnya  sambil  menundukkan  kepalanya. Sudah  biasa  dengan  budaya  Jepun  meminta  maaf  sambil  tundukkan  kepalanya. Lagipun  dia  berasa  takut  dengan  lelaki  itu. Lelaki  itu  kelihatan  marah  sekali.
            “ Zara? Zara  Khaisha,” panggil  lelaki  itu. Tapi  dari  mana  lelaki  itu  boleh  tahu  nama  penuhnya. Pantas  dia  mengangkat  kepalanya. Matanya  terbeliak. Itulah  lelaki  yang  pernah  dicintai. Dia  menunduk  kepalanya. Buat  tak  kenal..
            “ Maaf encik, saya  tak  kenal  encik. Mungkin  encik  tersalah  orang,” ucapnya.
            “ Tak. Aku  tak  tersalah  orang. Nama  kau  Zara  Khaisha  kan?” Dia  nie  betul-betul  yakin. Aku  dah  tak  boleh  menipu  lagi. Terpaksalah  buat  kenal  dia.
            “ Kau  Shah  ya? Maaflah  aku  kurang  ingat  muka  orang. Maaflah  ya.” Dia  cuba  untuk  tersenyum tapi  dia  rasa  senyuman  itu  tidak  sempurna. “ Aku  dah  lambat  nie. Aku  pergi  dulu.”
            “ Macam  mana  aku  nak  jumpa  kau  balik?” soal   Shah.
            Dalam  kelam  kabut, Zara  sempat  menghulurkan  kad  namanya. Sejak  dari  itu, Shah  sering  mengajaknya  keluar  makan  bersama  tetapi  dia  tidak  mahu. Dia  takut  hatinya  tidak  kuat  untuk  menghalang  rasa  cinta  yang  bertandang  di  hati.
           
BUAT  pertama  kali, dia  menerima  undangan  makan  malam  bersama  Shah. Dia  sudah  tidak  punya  alas an  untuk  menolaknya. Dia  tidak  sampai  hati  melihat  lelaki  itu  terus  merayu  untuk  keluar  makan  dengannya. Dia  fikir  itulah  kali  terakhir  dia  berjumpa  dengan  lelaki  itu.
            “ Kau  nampak  cantik  malam  nie. Pertama  kali  aku  tengok  kau  pakai  baju  macam  nie,” puji  Shah.
            “ Masa  dah  merubah  aku. Aku  rasa  aku  dah  dapat  takdir  aku  balik. Aku  tak  boleh  lari  lagi. Aku  masih  lagi  perempuan,” ucap  Zara  perlahan.
            “ Aku  rasa  aku  pun  dah  jumpa  takdir,” balas  Shah  tersenyum.
            Zara  tidak  dapat  menangkap maksud  ayat  Shah  yang  sebenarnya. “ Apa  maksud  kau?”
            “ Aku  rasa  aku  dah  jumpa  pasangan  hidup  aku.”
            Kata-kata  itu  membuatkan  wajah  Zara  berubah. Dia  tidak  patut  bersetuju  untuk  keluar  dengan  lelaki  itu. Kalau  dia  tahu, dia  tidak  akan  bersetuju. Dia  tidak  mahu……
            “ Sudikah  kau  jadi  kekasih  aku atau  lebih  tepat  lagi, jadi  isteri  aku?” lamar  Shah.
            Matanya  terbeliak  sepenuhnya. Dia  tidak  sangka  yang  lelaki  itu  akan  melamar. Bunganya  di  hatinya  mula  berkembang  mekar  tapi  itu  cuma  beberapa  minit  sahaja. Perasaan  bahagia  itu  hilang  sebaik  sahaja  kenangan  yang  menyakitkan  hati  itu  singgah  di  kotak  ingatannya.
            “ Tak. Aku  takkan  terima  kau. Tak  boleh  terima  kau.” Matanya  menjadi  tajam  memandang  Shah.
            “ Kenapa?”
            “ Kau  dah  lupa  kata-kata  kau  dulu  ye? Biar  aku  ingatkan  kau  kembali. ‘Apa  maksud  Bang  Long? Kami  tak  bercinta  pun. Shah  dengan  dia  kawan. Tak  ada  apa-apa  hubungan  pun. Bang  Long  dah  salah  faham   ni. Shah  cuma  bergaul  dengan  dia  sebab  kerja. Kalau  tak  jangan  harap  Shah  nak  bercakap  dengan  perempuan  macam  dia  tu. Tak  macam  perempuan  langsung. Tak  ada  langsung  ciri-ciri  kewanitaan. Perempuan  macam  tu  yang  Bang  Long  nak  Shah  jadikan  isteri? Tolonglah  Bang  Long, jangan  nak  buat  lawak  kat  sini.’
            Tak  cukup  dengan  itu  kau  tambah  lagi, ‘ Shah  tak  kisah  pun  kalau  dia  kecil  hati. Even  dia  nak  berhenti  kerja  sebab  dengar  Shah  mengata  dia  pun, Shah  tak  kisah. Tapi  Shah  tak  rasa  dia  akan  berhenti  kerja  sebab  ni.’
            Kalau  kau  nak  tahu  sebab  kata-kata  tulah  aku  berhenti  kerja. Aku  tak  sanggup  nak  bekerja  dengan  orang  yang  bongkak  macam  kau. Dan  sekarang, kau  nak  suruh  aku  terima  kau? Kau  berada  di  dunia  mimpi  kalau  aku  terima  kau, tahu  tak?” Panjang  lebar  Zara  berkata-kata  dengan  suara  yang  sengaja  digaraukan. Dia  tidak  mahu  menerima  lelaki  itu  kerana  dia  tahu  lelaki  itu  jatuh  hati  padanya  sekarang  kerana  dia  sudah  berubah  penampilannya. Dasar  lelaki  tak  guna, pantang  tengok  perempuan  dahi  licin  sikit.
            Shah  terkedu  apabila  mendengar  kata-katanya  dahulu  diulang  kembali. Cuma  dalam  versi  suara  wanita. Dia  sungguh  tidak  sangka  yang  Zara  telah  mendengar  kata-katanya  itu. Sebenarnya  itu  bukan  kata-kata  yang  lahir  dari  hatinya. Dia  cuma  mahu  menutup  rasa  cinta  pada  wanita  yang  telah  mula  mendapat  tempat  di  hatinya.
            “ Sebenarnya….”
            “ Sebenarnya  apa?” jerkah Zara.
            “ Aku  berbohong. Aku  tak  nak  abang  long  aku  tahu  tentang  perasaan  aku  terhadap  kau. Aku  mula  sedar  yang  aku  cintakan  sejak  kau  minta  maaf  dengan  aku  lagi  tapi  aku  malu. Apa  orang  akan  kata  kalau  diaorang  dapat  tahu  yang  aku  sukakan  kau. Tapi  sekarang  aku  dah  tak  kisah  apa  yang  orang  nak  cakap. Cinta  aku  hanya  untuk  kau  sekarang.” sayu  sahaja  suara  Shah  berkata-kata.
            Mendengar  kata-kata  itu, hati  Zara  yang  telah  membuakkan  rasa  marah  menjadi  sejuk  kembali. Hati  perempuan  akan  lembut  jugak  kalau  orang  memujuk  itu  orang  yang  disayanginya..
           

“ SAYANG  buat apa  kat  sini?” tegur  si  suaminya.
            Zara  tersenyum  melihat  suaminya. Cinta  pertama  yang  ingin  dilupakan  bersemi  kembali  dengan  luahan  perasaan  dari  suaminya.




No comments:

Post a Comment